SUARAKAN YANG HAQ UNTUK MENEGAKKAN YANG HAQ! KERANA YANG ADA HANYALAH YANG HAQ SEMATA ....

April 29, 2014

Waspada, penyakit waswas!

Ibnu Qayyim mengatakan, termasuk godaan ataupun tipu daya syaitan yang dilancarkan terhadap orang-orang yang bodoh adalah waswas, terutama ketika berniat untuk berwudhu ataupun shalat. Syaitan berusaha menggoda orang-orang itu supaya mereka tidak mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu alai wa sallam.

Mereka dihasut bahwa apa yang dijelaskan oleh sunnah Rasulullah itu belum memadai, tetapi harus ditambah dengan sesuatu yang lain, akibatnya, timbul perasaan dan sangkaan yang berbelah bagi.

Abu al-Farj al-Jauzi rahimahullah menceritakan pengalaman Abu Wafa' bin Uqail seperti berikut;
"Suatu ketika seorang lelaki datang kepada Abu Wafa' dan bertanya, 'Berkali-kali aku menyelam dalam air dan aku bimbang adakah wudhu ku sah? Bagaimana pendapat kamu tentang masa'alah ini? "
Abu Wafa' berkata, "Pergilah! Kamu sudah tidak diwajibkan shalat lagi." Lelaki itu pun bertanya kehairanan, "Mengapa?"
Abu Wafa' menjawab, "Kerana Nabi shallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda,
"Pena diangkat daripada tiga orang, iaitu; orang gila sampai dia sembuh, orang tidur sampai dia bangun, dan kanak-kanak sampai dia akil baligh."
"Jadi sesiapa yang menyelam berkali-kali tetapi maseh ragu adakah dia sudah terkena air atau belum, jelaslah dia itu orang gila."

Selanjutnya Ibnu Qayyim menceritakan, pernah ada orang yang melafazkan niat shalat (usalli) berulang kali padahal niat adalah tekad hendak melakukan sesuatu dan niat terletak dalam hati. Jadi tidak ada kaitan dengan lidah sama sekali. Dari itu tidak ada riwayat dari Nabi mahupun para sahabat yang menyatakan niat harus di lafaskan. Itulah syaitan 'menabuh gendang' untuk melancarkan penyakit waswas.

Barangsiapa yang ingin selamat daripada penyakit waswas ini, hendaklah sentiasa merasa bahwa yang betul ialah dengan mengikuti sunnah Nabi shallallahu alaihi wa sallam dalam perbuatan dan ucapannya serta yakin bahwa inilah jalan yang lurus.  
Allahul Musta'an.
Petikan ringkas dari buku 'Bahaya Penyakit Waswas' oleh Ibnu Qayyim. Terbitan Pustaka Azhar.

No comments:

Post a Comment