SUARAKAN YANG HAQ UNTUK MENEGAKKAN YANG HAQ! KERANA YANG ADA HANYALAH YANG HAQ SEMATA ....

June 16, 2012

Aurat Wanita


Di antara dosa dan fitnah yang dilakukan kebanyakkan wanita zaman sekarang adalah dengan keluar rumah dalam keadaan mempersonakan iaitu dengan cara mendedahkan perhiasan, memakai pakaian yang menjolok mata, memakai harum-haruman, yang mana perbuatan sebegini adalah menyalahi hukum syarie sepertimana firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam beberapa ayat-ayat Al-Quran:
Al-Ahzab ayat 33 "Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah solat serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya.  Sesungguhnya Allah bermaksud menghapuskan perkara2 yang mencemarkan dari mu wahai ahlul bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya dari segala perkara yang keji."
Al-Ahzab ayat 59 "Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu, serta wanita2 yang beriman agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya.  Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu.  Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."
An-Nuur ayat 31 "Dan katakanlah kepada perempuan2 yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
An-Nuur ayat 60 "Dan mana2 perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka dalam pada itu menjaga kehormatan lebih baik bagi mereka dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Tetapi persoalannya kenapa wanita-wanita kita masih ingkar akan ketetapan Allah subhanahu wa ta'ala dan masih mahu terus menggayakan fesyen-fesyen baju dan tudung yang menyelisihi syarie.  Adakah kerana mereka jahil atau mereka tahu tapi sengaja mahu mengikut nafsu mereka.  Ingatlah akan firman  Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah Al-Qasas ayat 84 "Sesiapa yang datang membawa amal baik maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya, dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan."

Kini banyak pula butik yang dibuka dengan laungan menjual pakaian muslimah tetapi malah baju yang dijual adalah fesyen yang jauh dari syarie dan yang lebih parah kebanyakkannya mencontohi fesyen kaum kuffar.  Kita disuruh untuk menyelisihi apa jua yang berkaitan dengan kaum kuffar hatta cara mereka mendandan rambut pun kita dilarang untuk mencontohi mereka.  Amatilah hadith yang bermaksud "Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka termasuklah ia ke dalam golongan mereka." (HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dan beliau mensyahihkannya).

Kaum wanita sekarang semakin menonjol dalam berpakaian dan bertudung tetapi adakah mereka benar-benar menutup aurat.
Bagi memastikan samada pakaian itu menutup aurat atau tidak ia mesti memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan:

1. Menutupi seluruh badan selain yang sudah dikecualikan, yakni wajah dan dua telapak tangan. 
2. Pakaian mestilah longgar. Tidak ketat sehingga masih menampakkan bentuk tubuh yang ditutupi.  Wanita masakini pula telah diperdayakan dengan fesyen-fesyen yang ketat yang bukan hanya mengaibkan diri sendiri tetapi yang melihat pun merasa malu.
3. Tidak tipis sehingga warna kulit masih boleh dilihat.   Akhir zaman ini pula semakin ramai wanita yang memakai baju yang tipis yang menampakkan pakaian dalam mereka.  Pakaian seperti ini adalah haram.
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki (iaitu memakai seluar dan blaus atau kemeja T dll). Maksud hadith "Bukanlah dari golongan kami wanita yang menyerupai lelaki".  Ini adalah larangan bagi wanita untuk berpakaian atau berkelakuan mengikut kaum lelaki dan begitu juga dengan kaum lelaki yang dilarang untuk menyerupai kaum wanita.
5. Tidak berwarna menyolok sehingga menarik perhatian. 
6. Tidak menyerupai pakaian wanita bukan Islam. Mereka yang memakainya dikhuatiri akan termasuk dalam hadith yang bermaksud "Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka termasuklah ia ke dalam golongan mereka."  Malah yang bertebaran sekarang adalah fesyen-fesyen yang berasal dari kaum kuffar dan inilah yang digemari ramai subhanallah.
7. Melabuhkan tudung hingga menutupi dada-dada, tidak tipis, tidak bercorak yang boleh menarik perhatian dan tidak berwarna terang. Pada hari ini ramai wanita gemar memakai tudung yang pendek, jarang yang boleh perlihatkan leher mereka.
8. Tidak boleh berhias (bersolek iaitu make-up) atau memakai wangi-wangian. Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam surah Al-Ahzab; 33 "...dan janganlah ia berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah dahulu..."
9. Tidak boleh menampakkan kaki, menghayunkan, menghentak dan berjalan dengan berlenggang-lenggok. Kasut yang dipakai juga tidak boleh mengeluarkan bunyi bila berjalan. (Surah An-Nur; 31)
10. Pakaian yang dipakai bukanlah dengan maksud mempamerkannya. Ini akan menimbulkan perasaan riyak dan takabbur.

Termasuk perbuatan yang terlarang adalah mendandan "kepala mereka bagaikan bonggol unta yang condong" sebagaimana hadith Rasulullah sallallahu alaihi wassalam yang bermaksud
"Ada dua kumpulan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya:
1.  Satu kaum yang mempunyai cemeti2 seperti ekor2 lembu, mereka memukul orang dengannya.
2.  Wanita2 yang berpakaian bertelanjang, yang menyimpang dari perintah Allah subhanahu wa ta'ala dan mengajar orang berbuat seperti mereka, kepala mereka bagaikan bonggol unta yang condong, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat menghidu bau syurga padahal bau syurga itu dapat dicium dalam jarak perjalanan sekian2".  (HR Muslim)
Pada hari ini ramai wanita yang suka mengikat rambut mereka supaya kelihatan indah apabila ditutup dengan tudung. Padahal perbuatan ini amat di larang dan kesan perbuatannya amat ditakuti.
Janganlah kita dikelirukan dan diperdayakan dengan fesyen-fesyen yang dikatakan sebagai "Islamic" atau busana muslimah.  Amatilah dan fahamkanlah dahulu istilah dan natijah menutup aurat.  Apa jua amalan dan ibadah yang kita lakukan haruslah ikhlas dan ada contoh dari Rasulullah sallallahu alaihi wassalam supaya diterima oleh Allah subhanahu wa ta'ala dan mendapat keredhaanNya insyaAllah.
Lihatlah video ini supaya dapat lebih memahami dalam masalah menutup aurat.




No comments:

Post a Comment