SUARAKAN YANG HAQ UNTUK MENEGAKKAN YANG HAQ! KERANA YANG ADA HANYALAH YANG HAQ SEMATA ....

October 11, 2012

Muhasabah diri

MUHASABAH DIRI

Di kebelakangan ini terdapat berbagai insiden yang amat menyentuh perasaan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Ini bukanlah sesuatu yang baru atau luarbiasa.  Penghinaan terhadap Islam telah berlaku seawal 1400 tahun dahulu dan Allah swt telah mengkhabarkan kepada umat Islam menerusi firman-firmanNya dalam Al-Quran tentang sikap mereka yang memusuhi Islam.

Tetapi yang lebih menyedihkan adalah reaksi mereka yang mengaku hendak membela Nabi Muhammad saw.  Apakah benar tindakan mereka dengan membunuh, mencedera, merosakkan harta benda, membuat hiruk-pikuk di sana sini.  Adakah ini yang di ajar dan di contohi oleh Rasulullah saw.  Lihatlah apa yang dilakukan oleh para sahabat apabila Nabi yang dikasihi dihina dan dicederakan oleh kaum musyrik pada zaman itu.  Adakah mereka memberontak dan melaung-laungkan slogan.  Malah Rasulullah saw mendoakan kebaikan untuk mereka.  Umat Islam wajib untuk mengikuti baginda dalam segala hal dan terlebih lagi apabila terjadi hal-hal sebegini. 

Apabila terjadi sesuatu musibah adakah kita meluangkan sedikit masa untuk bermuhasabah dan mencari kesalahan diri kita sendiri atau kita asyik menyalahkan orang lain.  Apa yang berlaku sebahagiannya adalah berpunca daripada kelalaian umat Islam sendiri yang telah banyak meremehkan syiar-syiar Islam.  Kita lebih utamakan tradisi daripada syariat Islam.  Kita lebih senang mengikuti apa yang diajar oleh tok guru kita daripada mengikuti apa yang di ajarkan oleh Rasulullah saw.  Kita melaung-laungkan cinta kepada Rasullullah tetapi kita menyelisihi ajaran baginda yang mulia.

Yang terkini pula heboh tentang kisah Amy Cheong.  Apakah kita merasa marah dengan kata-kata yang dilontarkan oleh Amy Cheong dilelaman beliau terhadap masyarakat kita.  Memanglah tidak wajar beliau menggunakan kata-kata yang kesat hanya kerana kemarahan beliau terhadap kebisingan walimah yang telah menceroboh ketenteramannya. Tetapi apakah kita hanya sekadar merasa marah dan geram dan kemudian ia berlalu begitu sahja tanpa mengambil iktibar dari peristiwa ini.  Tidakkah kita terfikir mengapa perkara yang sudah menjadi kebiasaan ini boleh menimbulkan kemarahan masyarakat di sekeliling kita.  Adakah Islam menyuruh kita untuk berbuat bising dan mengganggu ketenteraman jiran atau ia adalah tradisi yang tak dapat di lepaskan.  Ia adalah suatu "wake-up call" untuk masyarakat Islam menyemak kembali adab kita dalam perlaksanaan syariat Islam supaya masyarakat asing tidak bersangka buruk terhadap agama yang haq lagi murni ini.  Ingatlah bahwa sebahagian sahabat-sahabat yang masuk Islam dahulu adalah di sebabkan akhlak Rasulullah saw.

Islam adalah agama yang sempurna sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Maidah ayat 3.  Islam mengajar kita dalam semua hal daripada bagaimana hendak beribadah sehingga sekecil-kecil masalah iaitu bagaimana hendak beristinjak.  Begitu juga dengan hal walimah yang digalakkan dalam Islam.  Rasulullah saw telah mengajar umatnya daripada cara mencari jodoh yang baik dan sepadan, hingga kepada urusan walimah yang syarie.  Tetapi berapa ramaikah masyarakat kita yang mengambil berat untuk mengamalkan syariat Islam dalam masalah ini.  Malah yang mereka turuti adalah tradisi dan hawa nafsu yang tanpa disedari menyalahi banyak hukum-hakam agama.  Ketahuilah bahwa keberkahan sesuatu perbuatan adalah bergantung kepada keikhlasan kita dalam beramal mengikut syariat yang ditetapkan. 

Ingatlah bahwa masyarakat menilai Islam melalui akhlak kita.  Walhasil perbaikilah diri kita dahulu dan kembalilah kepada Islam yang haq yang mengikuti Al-Quran dan Sunnah.
 

No comments:

Post a Comment